Saturday 23 February 2013

Soalan tugasan BM



BAHAGIAN A
1.0 Pengenalan
Pada tahun 1968, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi di negara Malaysia dan ia dapat dilihat pada tutur katanya, morfologi dan juga kosa katanya. Perkembangan Bahasa Melayu amat perlahan tersebar jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak adalah amat bermakna bagi semua kaum di negara Malaysia. Perbezaan bahasa bukan lagi penghalang ke arah usaha memurnikan kerajaan ini kerana kita adalah satu bangsa, satu bahasa dalam Gagasan 1 Malaysia. “Isu-Isu Bahasa Melayu Sebagai Wadah Penyatuan Bangsa Cetusan” idea Perdana Menteri Malaysia melalui Gagasan 1 Malaysia adalah keinginannya untuk membentuk satu identiti masyarakat Malaysia melalui budaya. Tambahan pula, aspek terpenting untuk membentuk satu budaya ialah melalui satu bahasa dan satu suara.

2.0 ( i ) Tiga Fungsi Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar di Sekolah
Bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, berbilang agama dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Salah satu fungsi Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah adalah agar para pelajar dapat membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis dan tidak hanya terhad kepada bahasa ibunda mereka sahaja.
Selain itu, Bahasa Melayu juga dapat memupuk minat membaca sebagai satu amalan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan. Ini adalah kerana mereka dapat memahami Bahasa Melayu, mereka akan dapat membaca pelbagai jenis bahan bacaan yang terdapat dalam pasaran dan ini secara tidak langsung dapat memupuk amalan membaca dalam kalangan mereka. Seterusnya, para pelajar juga dapat mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif dan berunsur pengetahuan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul. Dengan mempelajari tatabahasa, para pelajar dapat mempelajari teknik penulisan yang betul serta penggunaan kata yang tepat dan bersesuaian.
Fungsinya yang kedua ialah Bahasa Melayu dapat memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis, dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis di kalangan pelajar. Setelah mempelajari konsep tatabahsa, proses penulisan para pelajar akan lebih tepat dan gramatis. Kesannya, para pelajar dapat menghasilkan karya yang baik dan yang dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum contohnya kaum Cina, kaum India dan sebagainya.
Para pelajar dapat menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dalam menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu; menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme dan perasaan cinta akan negara dan ia tidak hanya terhad kepada bahasa ibunda kaum masing-masing.
Bahasa Melayu berupaya melambangkan kehalusan kesopanan dan tingkah laku seseorang penutur. Seseorang yang menjiwai bahasanya sering menuturkan bahasa dengan sopan agar dianggap berbudi bahasa dan tidak dianggap biadab . Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu dapat dilihat daripada pelbagai ungkapan dalam persuratan Melayu lama seperti pantun, syair, peribahasa dan kiasan. Kiasan Melayu merupakan bahasa sindiran yang halus dan sarat dengan pengajarannya. Oleh hal yang demikian, kiasan Melayu berfungsi sebagai lambang kesopanan dan kehalusan budi pekerti masyarakat yang mendukungnya. Ketajaman kiasan Melayu menjadi faktor penting dalam komunikasi orang Melayu, malah kiasan itu dilihat mampu memberikan kesan atau mesej yang kekal dalam diri individu. Kehalusan dan kesantunan bahasa melambangkan kandungan pemikiran, sikap dan tingkah laku penutur yang dipengaruhi masa dan ruang. Meminjam puisi Usman Awang (1988), antara lainnya mengungkap:
Melayu itu maknanya bijaksana;
Jika menipu pun bersopan;
Kurang ajarnya tetap santun;
Dajalnya cukup selamba;
Budi bahasa jangan dikira;
Beraninya cukup benar;
Tunduk bila bersalah;
Lembutnya cukup jantan;
Berkelahi cara Melayu;
Menikam dengan pantun;
Menyanggah dengan senyum;
Marahnya dalam tertawa;
Merendah bukan menyembah;
Meninggi bukan melonjak.
Begitu unik dan istimewa bangsa Melayu, sekalipun bertarung mereka masih boleh berpantun walaupun dalam bentuk yang sungguh sinikal. Menghayati bahasa sebagai jati diri bangsa bermakna kita menghayati setiap aspek bahasa yang dapat mencerminkan identiti atau jati diri bangsa itu sendiri.
            Seterusnya, Bahasa Melayu merupakan lambang jati diri, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu juga menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Maka, Bahasa Melayu dapat bertindak sebagai medium dalam menyatupadukan semua lapisan rakyat Malaysia. Proses menyatupadukan rakyat dan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan negara adalah sangat penting bagi membentuk rakyat “Satu Malaysia”. Penggunaan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi ini perlu ditekankan di kalangan rakyat Malaysia. Seperti yang dimaklumkan, Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan. Bahasa ini pula mudah difahami oleh setiap kaum.
Sesungguhnya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara Hal ini agar Bahasa Melayu dapat mewujudkan integrasi nasional di antara negeri-negeri di Malaysia. Bahasa yang mudah difahami oleh semua rakyat dapat menghasilkan satu bentuk komunikasi yang berkesan. Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting bukan sahaja dalam meningkatkan perpaduan tetapi juga memenuhi keperluan manusia. Perpaduan adalah signifikan untuk menyumbang ke arah sebuah negara yang maju mengikut acuan sendiri.  Justeru itu, Bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai asas pembinaan negara. Tambahan pula, dengan termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai asas yang kukuh untuk membina sebuah negara. Jika tiada persefahaman dalam bahasa, negara akan menjadi kucar-kacir kerana wujudnya salah faham. Contohnya pergaduhan di pasar, pejabat mahupun sekolah.
( ii ) Tiga Kepentingan Bahasa Melayu Dalam Sistem Pendidikan
Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan iaitu perkara yang terkandung dalam Laporan Razak pada tahun 1957 dan 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Maka, salah satu kepentingan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kita adalah kepentingannya sebagai bahasa pengantar di Malaysia dalam penerapan nilai-nilai aspirasi.
Bahasa Melayu mula berperanan penting sebagai bahasa pengantar sejak Penyata Razak (1956) dilaksanakan. Bahasa Melayu sekian lama telah menjadi bahasa pengantar sama ada di sekolah, maktab, politeknik ataupun universiti. Contohnya, dengan Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan kemuncak bagi menentukan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Sehingga masa kini, universiti itu telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam Bahasa Melayu. Ratusan tesis yang disertai pada peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran ditulis dalam Bahasa Melayu, malahan ratusan profesor telah menyampaikan syarahan perdana tentang pelbagai ilmu dalam Bahasa Melayu. Semua perkara ini tidak terhad kepada orang Melayu sahaja, tetapi juga melibatkan semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Tidak syak lagi bahawa Bahasa Melayu telah membuktikan kejayaan dan keupayaanya sebagai bahasa ilmu dan bahasa bagi wahana ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Bahasa Melayu berperanan sebagai alat pengisian fikiran dan melahirkan pendapat. Ini bersesuaian dengan nilai-nilai aspirasi iaitu nilai-nilai yang perlu ada pada masyarakat progresif dan dinamik yang akan menggalakkan negara ke arah mencapai status negara maju melalui sistem pendidikan serta membantu mewujudkan tenaga kerja yang berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global ini. Hal ini seterusnya dapat membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap yang lebih kukuh dan mantap.
Bahasa Melayu juga penting sebagai bahasa ilmu. Bahasa ilmu adalah bahasa yang digunakan untuk mengungkap ilmu dan memiliki ciri-ciri yang tersendiri. Perkara 152 Perlembagaan Negara telah menjamin dan mengiktiraf bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu. Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai peneguhnya iaitu memberi halatuju kepada Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu apabila wujudnya Akta Pelajaran 1961. Antaranya menyebut mengenai peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dimana bahasa kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan.
Menurut ensiklopedia keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka menjelaskan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ialah peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan atau sebagai alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan moden seperti fizik, kimia, kejuruteraan, perubatan, ekonomi, undang-undang, kesusasteraan, dan agama. Di sini, dapat dinyatakan bahawa Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan setanding dengan bahasa-bahasa yang lain daripada segi kesediaan menerima maklumat atau pun sebagai bahasa ilmu dan ianya telah dijamin pengukuhannya di sisi Perlembagaan Negara serta Dasar Pendidikan Negara.
Ciri-ciri yang terdapat dalam Bahasa Melayu yang menjadikannya sebagai bahasa wahana ilmu kerana kemantapan yang ada memudahkan ia menyerap pelbagai budaya ilmu. Bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaannya, mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai bahasa ilmu. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan tahap pencapaiannya. Oleh yang demikian, Bahasa Melayu mampu merealisasikan Wawasan 2020 melalui bahasa yang boleh membawa kemajuan dengan semangat usaha dan kejayaan semua kaum bersama-sama.
Seterusnya, Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan adalah pra-syarat dalam usaha merealisasikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam usaha negara menuju kecemerlangan sejak tercapainya kemerdekaan negara. Tanpa perpaduan yang luar biasa ini British tidak akan menyerahkan pentadbiran Tanah Melayu kepada orang Malaysia sendiri. Namun dengan kepercayaan dan perpaduan orang-orang terdahulu yang bersama-sama pemimpin mereka telah mengembalikan hak pemerintahan tanahair yang tercinta ini. Demi mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu. Setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing, Ini dimulakan dengan pembentukan sikap penerimaan antara kaum bersama pemimpin yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka pembangunan negara juga secara langsungnya tercapai. Akhirnya wujudlah kuasa momentum yang hebat bermula daripada dasar perpaduan yang kuat dan sentiasa memerlukan. Oleh itu, Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting sebagai bahasa perpaduan.
                                                  
BAHAGIAN B
1.0 Pengenalan
Para sarjana mempunyai definisi yang berbeza dalam mentafsir konsep tatabahasa. Arbak Othman (1983) menyatakan bahawa tatabahasa ialah peraturan-peraturan bagaimana perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan itu bergabung dengan perkataan-perkataan lain untuk menghasilkan ayat-ayat yang gramatis. Menurut pernyataannya lagi, tatabahasa tidak lain adalah tentang struktur rentetan ucapan dan pengelompokan serta pengklasifikasian unsur-unsur ucapan yang berulang-ulang yang ditinjau menurut fungsinya berdasarkan lingkungan yang diduduki oleh sesuatu unsur serta hubungan antara satu sama lain yang menghasilkan struktur-struktur tertentu. Tambahannya lagi, tatabahasa dapat didekati dengan ukuran hubungan sintagmatis dan paradigmatis. Tegasnya, perihal itu dapat dibuat dengan menggunakan analisis tatabahasa daripada pengucapan sebenar bahasa itu atau dengan mencapai rumusan-rumusannya dengan cara meneliti bagaimana pengucapan itu berlaku atau terjadi.
            Manakala Raminah Sabran dan Rahim Syam (1985) telah mentakrifkan tatabahasa sebagai satu bidang linguistik yang mengkaji dan memerikan bahasa secara saintifik dan kajiannya ditumpukan kepada perkataan, proses pembentukan dan penyusunannya dalam membentuk ayat. Secara kesimpulannya, tatabahasa terdiri daripada dua komponen yang utama, iaitu morfologi dan sintaksis.
2.0 Konsep Tatabahasa
Secara amnya, tatabahasa terdiri daripada dua komponen yang utama, iaitu morfologi dan sintaksis
( i )Morfologi
Dalam morfologi, morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata tersebut terdiri daripada satu unit atau satu morfem misalnya perkataan  diri. Perkataan diri ini tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada di dan ri. Sebaliknya, kata berdiri boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu ber dan diri. Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem.

Morfem
Terdapat dua jenis morfem yang utama, iaitu morfem bebas dan juga morfem terikat atau imbuhan.
Morfem Bebas
Morfem terikat/imbuhan
Dapat berdiri sendiri, misalnya perkataan minum, pergi, hospital, guna
Bentuk imbuhan, misalnya: mem, per, kan, ber dan sebagainya

Mempunyai maksud sendiri
Tidak mempunyai makna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa atau nahu. Boleh mengubah makna sesuatu perkataan dan seterusnya makna ayat.

Morfem imbuhan atau terikat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:
Jenis Morfem Terikat
Awalan
Ditambah pada bahagian hadapan kata dasar. Contohnya perkataan menulis dan perkataaan  menyanyi.
Sisipan
Diselitkan antara unsur-unsur kata dasar.
Contohnya perkataan kelumumur.
Akhiran
Ditambah pada bahagian belakang kata dasar. Contohnya perkataan minuman, makanan.
Apitan
Ditambahkan pada bahagian belakang dan depan kata dasar secara serentak. Contohnya dipelajari, pekerjaan.

Golongan Kata
Menurut Tatabahasa Dewan, Edisi Keempat, semua perkataan dalam Bahasa Melayu dapat digolongkan ke dalam empat kumpulan, iaitu Kata Nama (termasuk Kata Ganti Nama), Kata Kerja, Kata Adjektif dan Kata Tugas.


1.      Kata Nama
Kata nama am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya secara umum.
2.      Kata Kerja
Kata kerja merupakan golongan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, menulis,  dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau ) dan kata kerja tak transitif ( Perbuatan tidak Melampau ).
3.      Kata adjektif
Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat, iaitu kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif seperti manis sekali, lama sungguh, masih lebat lagi. Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului dengan kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak atau benar.
4.      Kata tugas
Kata tugas ialah golongan perkataan selain kata nama, kata kerja dan kata sifat yang mendukung sesuatu tugas tertentu dalam binaan ayat, klausa dan frasa. Kehadiran kata tugas dalam ayat tidak berfungsi sebagai inti dalam sebarang frasa utama, sebaliknya mendukung sesuatu tugas sintaksis tertentu sama ada sebagai penghubung, penerang, penentu, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar pemeri atau tugas-tugas lain. Terdapat tujuh belas  jenis kata tugas yang telah dikenalpasti dalam bahasa Melayu: Kata adverba, Kata hubung, Kata sendi, Kata seru, Kata bantu, Kata perintah, Kata pangkal ayat, Kata bantu, Kata penegas, Kata penguat,  Kata nafi, Kata pemeri, Kata pembenar, Kata arah,  Kata bilangan, Kata penekan dan Kata pembenda.
( ii )Sintaksis
Sintaksis merupakan satu bidang bahasa yang tugasnya mengkaji rumus-rumus yang menerbitkan ayat-ayat gramatis sesuatu bahasa serta hukum-hukum tentang susunan kata yang menyebabkan terjadinya ayat sebagai sesuatu bentuk binaan bahasa yang sempurna. Terdapat pelbagai definisi yang telah diberikan untuk bidang ini. Antaranya definisi dari aspek makna dalam sesuatu bahasa yang lain seperti bahasa Yunani, iaitu sun yang bererti “dengan” dan tattein yang bererti “menempatkan bersama–sama”. Oleh yang demikian, secara etimologi, sintaksis dapatlah diertikan sebagai menempatkan kata–kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat.
Ayat
Sebenarnya terdapat banyak takrif atau definisi tentang ayat, kesemuanya bergantung kepada teori-teori linguistik yang dianuti oleh ahli-ahli bahasa. Ayat ialah suatu bentuk bahasa yang terjadi dengan adanya sekumpulan perkataan yang tersusun dalam dua bahagian iaitu subjek dan predikat. Mengikut pernyataan Asraf ( 2007), jumlah ayat tidak terbatas namun semua ini terbahagi kepada dua golongan sahaja iaitu ayat inti dan ayat tranformasi. Jenis-jenis ayat yang terdapat dalam Bahasa Melayu adalah seperti:
*      Ayat Aktif
*      Ayat Pasif
*      Ayat Perintah
*      Ayat Nafi
*      Ayat Tanya
*      Ayat Songsang
*      Ayat Inti
*      Ayat Gabungan
*      Ayat Pancangan
*      Ayat Tunggal

Dia sedang memakan nasi goreng.
Contoh ayat di atas terdiri daripada dua bahagian iaitu:
(i)                 Dia sedang
dan     
(ii)               memakan nasi goreng.
Bahagian subjek dan predikat, merupakan bahagian utama yang membentuk klausa atau ayat Bahasa Melayu.

Frasa
Dalam tatabahasa, frasa ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu patah perkataan atau rentetan beberapa patah perkataan yang berfungsi sebagai konstiten dalam ayat,  sama ada sebagai subjek, predikat, objek atau keterangan. Frasa tiada subjek dan predikat.  Frasa tidak membawa maksud yang lengkap yang boleh dikatakan sebagai satu ayat. Terdapat 4 jenis frasa: iaitu: Frasa Nama (FN), Frasa Kerja (FK), Frasa Adjektif (FA) dan Frasa Sendi Nama (FS).
Contoh           : Nasi goreng ( Frasa Nama)
                        : Kasut merah (Frasa Adjektif)
                        : Di antara sekolah ( Frasa Sendi Nama)
                        : Kebanjiran penduduk ( Frasa Kerja )
Frasa dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu frasa endosentrik dan frasa eksosentrik. Frasa endosentrik ialah frasa yang mengandungi satu unsur inti. Unsur inti ini mewakili seluruh frasa berkenaan. Frasa dinamakan mengikut unsur inti ini. Frasa Nama, Frasa Kerja dan Frasa Sendi Nama pula ialah frasa endosentrik. Ini kerana kata nama, kata kerja, dan kata adjektif boleh menjadi unsur inti setiap frasa itu. Frasa eksosentrik ialah frasa sendi nama yang tidak mempunyai unsur inti,  contohnya ke tandas dan di sekolah. Kewujudan sendi nama “di” bergantung pada sekolah dan “ke” pada tandas. Oleh itu, frasa jenis ini dikatakan frasa eksosentrik kerana pusatnya bergantung pada suatu unsur luaran.

( 3.0 ) Empat Kesalahan Tatabahasa Yang Dilakukan Dalam Bilik Darjah
1.  Penggunaan kata sendi “dari” dan “daripada”.  Kata sendi “dari” digunakan untuk tempat dan waktu. Perkataan “daripada” digunakan untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, dan untuk menunjukkan keanggotaan.

Ayat yang salah.
Ayat yang betul.
Ahmad datang daripada Batu Caves.
Ahmad datang  dari Batu Caves.
Siti menunggu Yusni daripada pukul tiga.
Siti menunggu Yusni dari pukul tiga.

Ella menerima surat dari Elva.
Ella menerima surat daripada Elva.
Dia mendapat pengetahuan yang banyak dari buku yang dibaca.

Dia mendapat pengetahuan yang banyak daripada buku yang dibaca.
Seluar yang dipakai oleh Nurul dibuat dari sutera.
Seluar yang dipakai oleh Nurul dibuat daripada sutera.
Dari 10 ekor anak kucing, hanya seekor yang hidup.
Daripada 10 ekor anak kucing, hanya seekor yang hidup.

2.  Kata sendi “di” digunakan untuk tempat sahaja. Kata sendi “pada” digunakan untuk masa, orang, binatang, benda abstrak, dan benda konkrit tertentu.
Contoh:
       Di musim buah-buahan, Zaidi mendapat banyak wang. ( salah )
       Pada musim buah-buahan, Zaidi mendapat banyak wang. ( betul )

       Abu berkebun pada belakang rumah. ( salah )
       Abu berkebun di belakang rumah. ( betul  )

       Dengan pendapat Aminah, kerja itu perlu dibereskan. ( salah )
       Pada pendapat Aminah, kerja itu perlu dibereskan. ( betul )
Buku cerita itu ada dengan Susan ( salah )
       Buku cerita itu ada pada Susan. ( betul )

3.    Kata “ ke” digunakan untuk tempat,  masa, dan benda konkrit tidak bernyawa. Kata “ kepada” pula digunakan untuk benda bernyawa.
      Contoh:
      Wang itu diberikan ke rumah yatim. ( salah )
      Wang itu diberikan kepada rumah yatim. ( betul )

      Ibu saya pergi kepada pasar setiap hari. ( salah )
      Ibu saya pergi ke pasar setiap hari ( betul )

      Latihan pasukan pancaragam itu akan diadakan dari semasa kepada semasa.  ( salah )
      Latihan pasukan pancaragam itu akan diadakan dari semasa ke semasa. ( betul )

4.  Kata kerja transitif yang berapitan “men…kan” dan “men…i” berbagai-bagai maknanya dan mesti digunakan dengan berhati-hati. Para pelajar sering keliru akan penggunaannya.
       Contoh:
SALAH
BETUL
Halim memberikan Sella sekuntum bunga.
Halim memberi Sella sekuntum bunga.
Pak Hanim mengambilkan segelas air untuk Ismail.
Pak Hanim mengambilkan Ismail segelas air.
Baginda mengurniakan Menteri Besar itu bintang kebesaran.
Baginda mengurniai menteri besar itu bintang kebesaran.
Hakim menjatuhkan perogol itu penjara seumur hidup.
Hakim menjatuhi perogol itu penjara seumur hidup.
Sampah sarap mengotorkan taman bunga itu.
Sampah sarap mengotori taman bunga itu.
Yan menasihatkan adiknya agar rajin belajar.
Yan menasihati adiknya agar rajin belajar.

4.0 Rumusan
Keistimewaan yang dimiliki oleh bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca membolehkannya ditutur oleh semua kaum dan melayakkannya mewakili seluruh etnik di Malaysia. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat dilihat dalam beberapa usaha yang dijalankan oleh kerajaan. Peranan bahasa Melayu dalam membina perpaduan kaum perlu dipertahankan dan dipertingkatkan seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara. Usaha memupuk perpaduan perlu mendapat kerjasama dari semua pihak selain daripada peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu dalam memartabatkan penggunaannya sebagai bahasa perpaduan. Selain itu, Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa ilmu dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada para pelajar tidak kira tua atau muda. Oleh itu, setiap orang perlulah menguasi Bahasa Melayu untuk memajukan diri, keluarga dan juga negara. “Bahasa Jiwa Bangsa”.