Wednesday 5 December 2012

Pembelajaran matematik



Bagaimana Kanak-kanak Belajar Matematik?
PENGENALAN 
Seseorang insan telah mula belajar sejak lahir. Bayi yang baru lahir mewarisi pelbagai bentuk gerakan pantulan misalnya apabila sesuatu objek menyentuh bibirnya, bayi terus menghisap objek tersebut tanpa diajar kepadanya. Hal ini bererti wujud satu atur cara genetik semula jadi dalam diri bayi untuk menyerapkan kewujudan sesuatu objek. Sehari demi sehari, maklumat dalam ingatan bayi semakin bertambah selaras dengan peningkatan fizikalnya daripada seorang bayi ke dunia kanak-kanak seterusnya menjadi orang dewasa. Maklumat-maklumat yang diterima akan dipecahkan menjadi pengetahuan dan memperkembangkan keupayaan kognitifnya.
Mengikut Mohd Daud Hamzah (1996), kanak-kanak mempelajari pelajaran matematik melalui kegiatan harian tertentu. Terdapat beberapa aktiviti yang dapat membantu kanak-kanak memperolehi konsep-konsep awal matematik seperti aktiviti padanan (matching), penjenisan (sorting), reguan (pairing) dan susunan aturan (ordering).
Padanan adalah kegiatan memilih sifat tertentu dan membuat perbandingan. Penjenisan ialah kegiatan memilih sifat umum di kalangan bentuk-bentuk. Reguan pula merupakan kegiatan menyatakan keselarian objek-objek secara satu lawan satu. Manakala susunan aturan ialah kegiatan meletakkan perkara sepanjang satu barisan.

Di samping itu, terdapat juga beberapa teori daripada pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik dan jenis matematik yang boleh dipelajari pada peringkat yang berbeza dalam perkembangan kognitifnya. Antara teori tersebut ialah teori kognitif dan teoriperkembangan kognitif yang dihasilkan oleh Jean Piaget, teori pembelajaran Bruner dan juga teori perkembangan Vygotsky. Teori-teori ini banyak menceritakan mengenaibagaimana kanak-kanak dapat mempelajari matematik sedari usia awal kanak-kanak.


TEORI PIAGET 

Teori Piaget juga dikenali Teori Perkembangan Kognitif Piaget telah mendapat perhatian meluas dalam bidang Psikologi sejak kajiannya dikemukakan. Kajian ini dapat menerangkan peringkat-peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak dan proses pemikiran berasaskan perkembangan skema. Bagaimanapun, teori dan kajiannya tetap menerima kritikan teutama berkaitan kelemahan teori dan metodologi yang digunakan.


Teori Piaget telah diperkenalkan oleh Jean Piaget yang berasal dari Switzerland. Beliau merupakan ahli psikologi yang banyak menyumbang kepada pemahaman bagaimana kanak-kanak belajar. Dari kajian dan permerhatian, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza dan berubah melalui 4 peringkat iaitu peringkat deria motor (0 – 2 tahun), pra-operasi ( 2 – 7 tahun), operasi konkrit (7 – 11 tahun) dan operasi formal ( 11 tahun ke dewasa).
Menurut Jere Confrey (1999), “ Piagetian theory kindled my intense enjoyment of children and deep respect for their capabilities.”
Dalam teori kognitif ini, Piaget menyatakan juga  kanak-kanak mempelajari matematik  melalui empat konsep utama iaitu skema, penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan. Walau bagaimanapun, dalam pembelajaran matematik kanak-kanak hanya dikaitkan dengan tiga konsep iaitu penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan. Konsep-konsep ini melibatkan perubahan dalam pemikiran kanak-kanak mengenai pembelajaran sesuatu konsep dalam mempelajari asas matematik. Sekiranya konsep matematik dapat diajar dengan betul daripada peringkat awal, maka kanak-kanak akan terus mengekalkan konsep yang mereka pelajari pada awal umur sehingga mereka dewasa.
Kita sebagai guru matematik sekolah rendah seharusnya memberi tumpuan terhadap perkembangan kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit. Pada peringkat usia sebegini, kanak-kanak hanya boleh memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Maka, bahan bantu mengajar dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik yang bakal diajar. Paiget berpendapat bahawa asas sesuatu pembelajaran ialah aktiviti kanak-kanak itu sendiri. Beliau juga menegaskan bahawa kepentingan interaksi idea-idea antara kanak-kanak tersebut dengan kawan-kawan sejawatnnya mustahak dalam  perkembangan mental seseorang.
TEORI BRUNER
Seorang ahli psikologi yang terkenal iaitu Jerome Bruner telah banyak menyumbang dalam penulisan teori pembelajaran, proses pengajaran dan falsafah pendidikan. Bruner bersetuju dengan Piaget bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah melalui peringkat-peringkat tertentu. Walau bagaimanapun, Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu mengolah apa yang diketahui pelajar itu kepada satu corak dalam keadaan baru (lebih kepada prinsip konstruktivisme).
Melaui teori ini, Bruner menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai tiga cara untuk mencapai kefahaman mereka dalam mempelajari matematik iaitu melalui perwakilan enaktif, ikonik dan simbolik. Peringkat enaktif ialah peringkat bagi kanak-kanak membuat manipulasi pengajaran secara langsung dan aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah berdasarkan pergerakan tubuh badan mereka sendiri. Contohnya, kanak-kanak mempelajari mengenai jarak jauh dan dekat melalui aktiviti berlari dalam dua jarak yang berbeza iaitu jarak jauh dan jarak yang dekat. Dalam peringkat ikonik pula, kanak-kanak akan menunjukkan bahawa mereka berupaya untuk belajar dengan menggabungkan penggunaan mental mereka dengan imej. Sebagai contoh, kanak-kanak dapat menggunakan simbol (+) bagi mewakili operasi tambah yang dilakukan dalam pembelajaran matematik. Seseorang kanak-kanak juga boleh menukarkan ayat penyelesaian masalah kepada ayat matematik yang melibatkan simbol operasi sama ada penambahan atau penolakan. Peringkat simbolik pula menyatakan bahawa kanak-kanak berupaya membuat manipulasi mengenai simbol-simbol dalam operas imatematik dan berkeupayaan untuk memahami konsep abstrak. Ini dapat dibuktikan melalui penggunaan kad nombor dalam pengajaran matematik kanak-kanak. Hal ini menunjukkan kanak-kanak sudah boleh membayangkan simbol nombor yang mereka pelajari.
Bruner juga percaya bahawa kanak-kanak lebih dimotivasikan oleh masalah yang menarik yang tidak mampu diselesaikan oleh mereka dengan mudah seandainya tidak dapat menguasai isi kandungan mata pelajaran dan kemahiran tertentu.
Teori Perkembangan Kognitif Lev Vygotsky
Lev Vygotsky (1896-1934) memberi alternatif kepada idea Piaget tentang perkembangan kognitif kanak-kanak yang menekankan peranan sosial dan budaya dalam perkembangan minda kanak-kanak.
Menurut Vygotsky, dua faktor utama dalam perkembangan kognitif kanak-kanak ialah interaksi sosial dan kemahiran berbahasa. Beliau menyatakan bahawa pemikiran kanak-kanak berkembang akibat dari pergaulan dengan orang lain. Pergaulan dan interaksi yang bermakna ini selalunya berlaku antara kanak-kanak dengan individu yang lebih berpengetahuan daripadanya. Menurut Vygotsky lagi, kanak-kanak belajar dari apa yang dipraktikkan. Bagi Vygotsky, kanak-kanak tidak dapat membina pengetahuannya sendiri tentang persekitaran sebaliknya harus dibina melalui interaksi sosial dengan individu-individu yang berada di persekitarannya contohnya ibu bapa, guru, adik-beradik, keluarga terdekat dan rakan sebaya mereka. Individu-individu ini akan bertindak memberi arahan, maklum balas dan membimbing komunikasi kanak-kanak. Kanak-kanak lalu akan menggunakan maklumat-maklumat ini di dalam interaksi-interaksi yang lain iaitu mungkin semasa bermain atau apabila berdepan dengan situasi yang hampir sama di masa akan datang.
Zon Perkembangan Proksimal
Kepentingan interaksi di dalam perkembangan kognitif kanak-kanak digambarkan oleh Vygotsky dalam komsep Zon Perkembangan Proksimal. Ia merupakan istilah yang digunakan oleh Vygotsky untuk menjelaskan bagaimana kemahiran-kemahiran yang sukar dilakukan oleh kanak-kanak boleh dilakukan dengan bantuan dan bimbingan orang-orang dewasa atau rakan sebaya yang lebih mahir.

Had Atas iaitu peringkat kemahiran kanak-kanak yang boleh dicapai dengan bantuan individu yang lebih mahir.
Had Bawah pula ialah kemahiran yang boleh dicapai sendiri oleh kanak-kanak.
KANAK-KANAK BELAJAR MATEMATIK
Setelah menelitikan teori-teori yang digariskan oleh Piaget, Bruner dan Vygotsky, kita dapat melihatkan ia berkaitan dengan konsep konstruktivisme. Konstruktisvisme merupakan satu teori mengenai pengetahuan dan pembelajaran yang menarik minat, memotivasikan serta memudahkan pemahaman murid-murid. Tambahan pula, konstruktivisme menyarankan kanak-kanak membina pengetahuan secara aktif berdasarkan pengetahuan sedia ada kanak-kanak. Pembinaan pengetahuan tersebut boleh dihasilkan melalui permainan dan eksperimen yang dilakukan di samping pembelajaran koperatif. Apabila kanak-kanak bekerjasama, mereka berkongsi dalam proses pembinaan idea. Secara tidak langsung, kanak-kanak tersebut dapat membina pengetahuan baru hasil daripada pembelajaran secara kendiri.
Dalam pendekatan konstruktivisme ini juga, persekitaran pembelajaran berpusatkan kanak-kanak menjadi asas yang penting dan guru yang bertindak sebagai fasilitator. Kanak-kanak juga didorong untuk mengemukakan idea dan teori bagi menyelesaikan masalah. Dalam pendidikan matematik, kanak-kanak biasanya akan diajar dengan menggunakan benda-benda konkrit supaya mereka memperolehi pengalaman yang akan digunakan untuk dikaitkan dengan pembelajaran matematik yang bakal dipelajari.
Justeru itu, kanak-kanak belajar matematik melalui pengalaman dan pengamatan sesuatu perkara. Kanak-kanak juga dapat meningkatkan pemikiran dengan menghasilkan konsep baru. Ini bermakna pengetahuan boleh dianggap sebagai koleksi konsep-konsep dan tindakan-tindakan berguna berpandukan kepada keadaan dan masa yang diperlukan.

PENUTUP
Secara kesimpulannya, kanak-kanak  ibarat bekas yang kosong dan guru pula berperanan untuk memenuhi bekas tersebut dengan ilmu pengetahuan. Para pendidik juga berperanan untuk membimbing kanak-kanak untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan membentuk ilmu pengetahuan berdasarkan permainan dan eksperimen dan tidak bergantung sepenuhnya pada seseorang guru. Guru hanyalah sebaagai seorang fasilitator yang akan memantau perkembangan kanak-kanak dalam mempelajari sesuatu konsep.

2 comments:

Anonymous said...

Laporan yang lengkap.

Anonymous said...

Laporan yang lengkap.