Bagaimana Kanak-kanak Belajar Matematik?
PENGENALAN
Seseorang insan telah mula belajar
sejak lahir. Bayi yang baru lahir mewarisi pelbagai bentuk gerakan pantulan misalnya
apabila sesuatu objek menyentuh bibirnya, bayi terus menghisap objek tersebut
tanpa diajar kepadanya. Hal ini bererti wujud satu atur cara genetik semula
jadi dalam diri bayi untuk menyerapkan kewujudan sesuatu objek. Sehari demi sehari,
maklumat dalam ingatan bayi semakin bertambah selaras dengan peningkatan
fizikalnya daripada seorang bayi ke dunia kanak-kanak seterusnya menjadi orang dewasa.
Maklumat-maklumat yang diterima akan dipecahkan menjadi pengetahuan dan
memperkembangkan keupayaan kognitifnya.
Mengikut Mohd Daud Hamzah (1996),
kanak-kanak mempelajari pelajaran matematik melalui kegiatan harian tertentu.
Terdapat beberapa aktiviti yang dapat membantu kanak-kanak memperolehi
konsep-konsep awal matematik seperti aktiviti padanan (matching), penjenisan
(sorting), reguan (pairing) dan susunan aturan (ordering).
Padanan
adalah kegiatan memilih sifat tertentu dan membuat perbandingan. Penjenisan ialah kegiatan memilih sifat umum di
kalangan bentuk-bentuk. Reguan pula
merupakan kegiatan menyatakan keselarian objek-objek secara satu lawan satu.
Manakala susunan aturan ialah kegiatan
meletakkan perkara sepanjang satu barisan.
Di samping itu, terdapat juga beberapa teori daripada
pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik dan jenis
matematik yang boleh dipelajari pada peringkat yang berbeza dalam perkembangan
kognitifnya. Antara teori tersebut ialah teori
kognitif dan teoriperkembangan kognitif
yang dihasilkan oleh Jean Piaget, teori pembelajaran Bruner dan juga
teori perkembangan Vygotsky. Teori-teori
ini banyak menceritakan mengenaibagaimana kanak-kanak dapat mempelajari matematik
sedari usia awal kanak-kanak.
TEORI PIAGET
Teori Piaget juga dikenali Teori Perkembangan Kognitif
Piaget telah mendapat perhatian meluas dalam bidang Psikologi sejak kajiannya
dikemukakan. Kajian ini dapat menerangkan peringkat-peringkat perkembangan
kognitif kanak-kanak dan proses pemikiran berasaskan perkembangan skema. Bagaimanapun,
teori dan kajiannya tetap menerima kritikan teutama berkaitan kelemahan teori
dan metodologi yang digunakan.