Bagaimana Kanak-kanak Belajar Matematik?
PENGENALAN
Seseorang insan telah mula belajar
sejak lahir. Bayi yang baru lahir mewarisi pelbagai bentuk gerakan pantulan misalnya
apabila sesuatu objek menyentuh bibirnya, bayi terus menghisap objek tersebut
tanpa diajar kepadanya. Hal ini bererti wujud satu atur cara genetik semula
jadi dalam diri bayi untuk menyerapkan kewujudan sesuatu objek. Sehari demi sehari,
maklumat dalam ingatan bayi semakin bertambah selaras dengan peningkatan
fizikalnya daripada seorang bayi ke dunia kanak-kanak seterusnya menjadi orang dewasa.
Maklumat-maklumat yang diterima akan dipecahkan menjadi pengetahuan dan
memperkembangkan keupayaan kognitifnya.
Mengikut Mohd Daud Hamzah (1996),
kanak-kanak mempelajari pelajaran matematik melalui kegiatan harian tertentu.
Terdapat beberapa aktiviti yang dapat membantu kanak-kanak memperolehi
konsep-konsep awal matematik seperti aktiviti padanan (matching), penjenisan
(sorting), reguan (pairing) dan susunan aturan (ordering).
Padanan
adalah kegiatan memilih sifat tertentu dan membuat perbandingan. Penjenisan ialah kegiatan memilih sifat umum di
kalangan bentuk-bentuk. Reguan pula
merupakan kegiatan menyatakan keselarian objek-objek secara satu lawan satu.
Manakala susunan aturan ialah kegiatan
meletakkan perkara sepanjang satu barisan.
Di samping itu, terdapat juga beberapa teori daripada
pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik dan jenis
matematik yang boleh dipelajari pada peringkat yang berbeza dalam perkembangan
kognitifnya. Antara teori tersebut ialah teori
kognitif dan teoriperkembangan kognitif
yang dihasilkan oleh Jean Piaget, teori pembelajaran Bruner dan juga
teori perkembangan Vygotsky. Teori-teori
ini banyak menceritakan mengenaibagaimana kanak-kanak dapat mempelajari matematik
sedari usia awal kanak-kanak.
TEORI PIAGET
Teori Piaget juga dikenali Teori Perkembangan Kognitif
Piaget telah mendapat perhatian meluas dalam bidang Psikologi sejak kajiannya
dikemukakan. Kajian ini dapat menerangkan peringkat-peringkat perkembangan
kognitif kanak-kanak dan proses pemikiran berasaskan perkembangan skema. Bagaimanapun,
teori dan kajiannya tetap menerima kritikan teutama berkaitan kelemahan teori
dan metodologi yang digunakan.
Teori Piaget telah diperkenalkan oleh Jean Piaget yang berasal
dari Switzerland. Beliau merupakan ahli psikologi yang banyak menyumbang kepada
pemahaman bagaimana kanak-kanak belajar. Dari kajian dan permerhatian, Piaget
mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza dan berubah melalui 4
peringkat iaitu peringkat deria motor (0 – 2 tahun), pra-operasi ( 2 – 7
tahun), operasi konkrit (7 – 11 tahun) dan operasi formal ( 11 tahun ke
dewasa).
Menurut Jere Confrey (1999), “ Piagetian
theory kindled my intense enjoyment of children and deep respect for their
capabilities.”
Dalam
teori kognitif ini, Piaget menyatakan juga kanak-kanak
mempelajari matematik melalui empat
konsep utama iaitu skema, penyerapan, pengubahsuaian
dan keseimbangan. Walau bagaimanapun, dalam pembelajaran matematik kanak-kanak hanya dikaitkan
dengan tiga konsep iaitu penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan. Konsep-konsep ini melibatkan perubahan dalam
pemikiran kanak-kanak mengenai pembelajaran
sesuatu konsep dalam mempelajari asas matematik. Sekiranya konsep matematik dapat diajar dengan betul daripada
peringkat awal, maka kanak-kanak akan terus mengekalkan konsep yang mereka
pelajari pada awal umur sehingga mereka dewasa.
Kita sebagai guru matematik sekolah
rendah seharusnya memberi tumpuan terhadap perkembangan kanak-kanak pada
peringkat operasi konkrit. Pada peringkat usia sebegini, kanak-kanak hanya
boleh memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Maka, bahan bantu
mengajar dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik yang bakal diajar.
Paiget berpendapat bahawa asas sesuatu pembelajaran ialah aktiviti kanak-kanak
itu sendiri. Beliau juga menegaskan bahawa kepentingan interaksi idea-idea
antara kanak-kanak tersebut dengan kawan-kawan sejawatnnya mustahak dalam perkembangan mental seseorang.
TEORI BRUNER
Seorang ahli psikologi yang terkenal
iaitu Jerome Bruner telah banyak menyumbang dalam penulisan teori pembelajaran,
proses pengajaran dan falsafah pendidikan. Bruner bersetuju dengan Piaget
bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah melalui peringkat-peringkat
tertentu. Walau bagaimanapun, Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara
penemuan iaitu mengolah apa yang diketahui pelajar itu kepada satu corak dalam
keadaan baru (lebih kepada prinsip konstruktivisme).
Melaui teori ini, Bruner menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai
tiga cara untuk mencapai kefahaman mereka
dalam mempelajari
matematik iaitu melalui perwakilan enaktif, ikonik dan simbolik. Peringkat enaktif ialah
peringkat bagi kanak-kanak membuat manipulasi pengajaran secara langsung dan
aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah berdasarkan pergerakan tubuh badan mereka sendiri. Contohnya,
kanak-kanak mempelajari mengenai jarak jauh dan dekat
melalui aktiviti berlari dalam dua jarak yang berbeza iaitu jarak jauh dan jarak yang
dekat. Dalam peringkat ikonik pula, kanak-kanak akan menunjukkan bahawa mereka berupaya untuk belajar dengan menggabungkan
penggunaan mental mereka dengan imej. Sebagai
contoh, kanak-kanak dapat menggunakan simbol (+) bagi mewakili operasi tambah yang
dilakukan dalam pembelajaran matematik. Seseorang kanak-kanak juga boleh
menukarkan ayat penyelesaian masalah kepada ayat matematik yang melibatkan simbol operasi
sama ada penambahan atau penolakan. Peringkat simbolik pula menyatakan bahawa kanak-kanak berupaya membuat manipulasi mengenai
simbol-simbol dalam operas imatematik
dan berkeupayaan untuk memahami konsep abstrak. Ini dapat dibuktikan melalui penggunaan kad nombor dalam pengajaran
matematik kanak-kanak. Hal ini menunjukkan kanak-kanak sudah boleh membayangkan
simbol nombor yang mereka pelajari.
Bruner juga percaya bahawa
kanak-kanak lebih dimotivasikan oleh masalah yang menarik yang tidak mampu
diselesaikan oleh mereka dengan mudah seandainya tidak dapat menguasai isi
kandungan mata pelajaran dan kemahiran tertentu.
Teori Perkembangan
Kognitif Lev Vygotsky
Lev Vygotsky (1896-1934) memberi
alternatif kepada idea Piaget tentang perkembangan kognitif kanak-kanak yang menekankan
peranan sosial dan budaya dalam perkembangan minda kanak-kanak.
Menurut Vygotsky, dua faktor utama
dalam perkembangan kognitif kanak-kanak ialah interaksi sosial dan kemahiran
berbahasa. Beliau menyatakan bahawa pemikiran kanak-kanak berkembang akibat
dari pergaulan dengan orang lain. Pergaulan dan interaksi yang bermakna ini
selalunya berlaku antara kanak-kanak dengan individu yang lebih berpengetahuan
daripadanya. Menurut Vygotsky lagi, kanak-kanak belajar dari apa yang
dipraktikkan. Bagi Vygotsky, kanak-kanak tidak dapat membina pengetahuannya
sendiri tentang persekitaran sebaliknya harus dibina melalui interaksi sosial
dengan individu-individu yang berada di persekitarannya contohnya ibu bapa,
guru, adik-beradik, keluarga terdekat dan rakan sebaya mereka.
Individu-individu ini akan bertindak memberi arahan, maklum balas dan
membimbing komunikasi kanak-kanak. Kanak-kanak lalu akan menggunakan
maklumat-maklumat ini di dalam interaksi-interaksi yang lain iaitu mungkin
semasa bermain atau apabila berdepan dengan situasi yang hampir sama di masa
akan datang.
Zon Perkembangan Proksimal
Kepentingan interaksi di dalam
perkembangan kognitif kanak-kanak digambarkan oleh Vygotsky dalam komsep Zon
Perkembangan Proksimal. Ia merupakan istilah yang digunakan oleh Vygotsky untuk
menjelaskan bagaimana kemahiran-kemahiran yang sukar dilakukan oleh kanak-kanak
boleh dilakukan dengan bantuan dan bimbingan orang-orang dewasa atau rakan
sebaya yang lebih mahir.
Had Atas iaitu peringkat
kemahiran kanak-kanak yang boleh dicapai dengan bantuan individu yang lebih
mahir.
Had Bawah pula ialah kemahiran
yang boleh dicapai sendiri oleh kanak-kanak.
KANAK-KANAK
BELAJAR MATEMATIK
Setelah menelitikan teori-teori yang
digariskan oleh Piaget, Bruner dan Vygotsky, kita dapat melihatkan ia berkaitan
dengan konsep konstruktivisme. Konstruktisvisme merupakan satu teori mengenai
pengetahuan dan pembelajaran yang menarik minat, memotivasikan serta memudahkan
pemahaman murid-murid. Tambahan pula, konstruktivisme menyarankan kanak-kanak
membina pengetahuan secara aktif berdasarkan pengetahuan sedia ada kanak-kanak.
Pembinaan pengetahuan tersebut boleh dihasilkan melalui permainan dan
eksperimen yang dilakukan di samping pembelajaran koperatif. Apabila
kanak-kanak bekerjasama, mereka berkongsi dalam proses pembinaan idea. Secara
tidak langsung, kanak-kanak tersebut dapat membina pengetahuan baru hasil
daripada pembelajaran secara kendiri.
Dalam pendekatan konstruktivisme ini
juga, persekitaran pembelajaran berpusatkan kanak-kanak menjadi asas yang
penting dan guru yang bertindak sebagai fasilitator. Kanak-kanak juga didorong
untuk mengemukakan idea dan teori bagi menyelesaikan masalah. Dalam pendidikan
matematik, kanak-kanak biasanya akan diajar dengan menggunakan benda-benda
konkrit supaya mereka memperolehi pengalaman yang akan digunakan untuk
dikaitkan dengan pembelajaran matematik yang bakal dipelajari.
Justeru itu, kanak-kanak belajar
matematik melalui pengalaman dan pengamatan sesuatu perkara. Kanak-kanak juga
dapat meningkatkan pemikiran dengan menghasilkan konsep baru. Ini bermakna
pengetahuan boleh dianggap sebagai koleksi konsep-konsep dan tindakan-tindakan
berguna berpandukan kepada keadaan dan masa yang diperlukan.
PENUTUP
Secara kesimpulannya, kanak-kanak ibarat bekas yang kosong dan guru pula berperanan
untuk memenuhi bekas tersebut dengan ilmu pengetahuan. Para pendidik juga
berperanan untuk membimbing kanak-kanak untuk menghadapi cabaran pada masa
hadapan. Kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan membentuk ilmu pengetahuan
berdasarkan permainan dan eksperimen dan tidak bergantung sepenuhnya pada seseorang
guru. Guru hanyalah sebaagai seorang fasilitator yang akan memantau
perkembangan kanak-kanak dalam mempelajari sesuatu konsep.
2 comments:
Laporan yang lengkap.
Laporan yang lengkap.
Post a Comment